Tuesday, December 18, 2007

Apa tujuan anda nak buka bakeri? --updated 6th Jan

Setiap apa yang kita lakukan semestinya perlu ada tujuan. Jika sekiranya anda hendak membuka satu kedai bakeri, cuba anda senaraikan dulu apa tujuan anda membuka kedai bakeri.

1. Minat
2. Nak memenuhi keperluan makanan halal
3. Nak cuba berniaga dan tak mahu makan gaji
4. Tak tau apa nak buat lagi dah. Lepas pencen nak buat apa lagi?
5. Sebab banyak duit
6. Sebab orang lain boleh buat kenapa kita tidak.
7.
8.

sila buat senarai sepanjang mungkin....

sambungan--30/12/07--
Terima kasih ada beberapa sahabat memberikan respons. Macam-macam tujuan disenaraikan. Apapun tujuannya, tindakan kita seterusnya seharusnya bertepatan dengan tujuan yang kita inginkan itu.

Ada sahabat nak berniaga bakeri tapi tak pandai buat roti dan kek. Dia cuma nak jadi boss. Boleh.. bukan tak boleh, tapi dia perlu mempunyai beberapa perkara.
1- Duit yang cukup banyak. 500ribu..??
2- Sistem perniagaan/sistem kerja yang stabil. Contoh macam syarikat berstatus franchise.
3- Pekerja yang sangat berpengalaman dan setia. Kalau dah ada sistem, usah bimbang.
4- Akal. Yang ni semua tokey perlu ada. Paling penting cara mana dia gunakan akalnya.
Cukuplah saya senaraikan 4 perkara saja sebab 'akal' saja dah boleh buat banyak perkara yang seterusnya.

Ada yang nak buka kedai bakeri berbekalkan angan-angan kononnya boleh banyak untung dan boleh cepat kaya. Salah!! Anggapan itu salah. Dengan satu kedai bakeri anda tidak menghampiri kekayaan. Anda perlu ada 10 kedai bakeri untuk jadi kaya.
Tujuan anda bukan untuk jadi kaya kan...?? :-)

sambungan--31/12/07--
Ada ramai yang nak buka bakeri sebab dah dekat nak pencen. Saya sarankan berfikirlah sebanyak 100kali.
Saya bermula sebelum usia pencen supaya semasa usia pencen nanti saya dah boleh rehat untuk menikmati hasil yang saya usahakan hari ini dan berusaha untuk mengekal atau mengembangkannya saja dan bersedia untuk menyerahkannya kepada anak-anak. Kerja berat untuk memulakan perniagaan sudah diselesaikan semasa usia sebelum pencen; semasa muda, sihat dan bertenaga.

Bagi golongan bakal pencen, jangan terburu-buru menghabiskan wang pencen atau wang KWSP untuk mula menceburkan diri dalam perniagaan; melainkan wang pencen tu terlalu banyak sampai tak tau nak buat apa dengannya.
Memanglah tak salah jika baru nak mula berniaga diusia pencen. Kolonel Sanders pun lepas pencen baru dia berjaya jual resipe KFC tu.
Namun anda harus menilai risiko. Jika sekiranya nilai risiko perniagaan bakeri tersebut tak mampu untuk anda tanggung, sila pertimbangkan semula.

Mungkin anda kata, saja je nak ada 'aktiviti' di usia pencen jadi nak bukalah kedai bakeri.
Sebenarnya buka kedai bakeri saja dah jadi satu 'survival'. Nak mengekalkan kedai tu bertahan hidup pun satu survival yang sangat mencabar. Tak boleh dilakukan untuk tujuan 'saja je'. Jika sekiranya anda ingin sekadar nak ada aktiviti di usia pencen, saya cadangkan anda lakukan 'home based bakery'. Lebih sesuai, senang dimulakan, senang dikawal, rendah risiko dan paling penting tidak menganggu anda menikmati usia pencen.

Jadi sekiranya anda memilih juga perniagaan bakeri, lakukan perniagaan bakeri yang 'berkadar mampu', sesuai dengan faktor kewangan anda, usia, tenaga, kepakaran dan faktor-faktor lain.

sambungan--2/1/08--
Ada juga bakal pencen yang kata dia memilih untuk buka bakeri kerana lepas pencen nanti dia tidak lagi mempunyai pendapatan. Jadi berniaga adalah menjadi sumber pendapatannya selepas pencen. Ini dah kira survival diusia pencen. Sekali lagi saya sarankan "lakukan perniagaan bakeri yang 'berkadar mampu', sesuai dengan faktor kewangan anda, usia, tenaga, kepakaran dan faktor-faktor lain."

Ada pula yang tanya "bagaimana rupa bakeri berkadar mampu tu?"
Kita sambung lain hari... :)

sambungan--6/1/08--
Perniagaan bakeri berkadar mampu biasanya berkaitan dengan lokasi atau tempat beroperasi. Contohnya 'home-based bakery'. Selain daripada itu, menyewa lot kedai atau gerai PBT (DBKL, MBPJ, MPAJ.... ) yang mana sewanya jauh lebih murah berbanding premis kepunyaan swasta. Perlu diperhatikan juga lokasinya strategik atau tidak, bersesuaian dengan strategi perniagaan anda. Jika anda mengharap 'walk-in customer'
maka faktor lokasi adalah menjadi keutamaan.

Friday, November 02, 2007

Edar roti ke kantin sekolah

Ramai pula yang bertanya bagaimana nak edar roti ke kantin sekolah. Ni lagi dua ke tiga minggu nak cuti sekolah rasanya dah terlambat lah kalau nak mula sekarang. Tunggu lepas cuti sekolah nanti la ye.

Walaubagaimanapun saya cerita lah serba sikit cara nak edar roti ke kantin sekolah.
Pertamanya kita mesti ada roti.
Keduanya, kita mesti ada kenderaan.
Ketiga, kita mesti ada orang untuk hantar roti.
Keempat, kita mesti ada masa.
Kemudian, kita dah boleh mula buat marketing.
Kita pergi ke kantin sekolah. Berjumpa dengan tokey kantin. Perkenalkan diri kita sebagai pengusaha roti dan berminat untuk mengedar roti ke kantinnya. Kita boleh menawarkan kepadanya consignment deal ataupun cash deal .

Consignment deal ialah kita hantar roti dan bayaran dibuat selepas roti habis dijual. Roti tak laku akan dipulangkan semula kepada kita. Bayaran hanya untuk roti yang terjual sahaja. Bayaran dibuat pada hari penghantaran seterusnya. Boleh juga seminggu sekali ataupun sebulan sekali.

Cash deal pula senang saja dapat roti terus bayar.

Perlu diingatkan dalam kita close deal dengan tokey kantin tu janganlah kita terperangkap dengan tekanan harga daripada mereka. Disarankan sediakan senarai harga dan harga adalah tetap. Kita jual mengikut harga yang kita dah senaraikan. DEAL OR NO DEAL!! Tak ada diskaun-diskaun lagi dah. Kalau bagi diskaun anda dikhuatiri akan berniaga dapat penat dan seronok saja. Seronok berniaga....

Dalam kita berperang dengan tekanan harga, kita boleh juga buat khas roti versi kantin sekolah. Sesuai dengan harga jualan di kantin sekolah tu.
Kalau nak contoh bisnes edar roti ke kantin sekolah bolehlah lawat ke blog sahabat saya. Klik sini Ummu Sofeya Bakery

Wednesday, October 31, 2007

Banyak order boleh untung banyak ke?

Minggu-minggu selepas raya ni kelihatannya kami menerima banyak pertanyaan untuk tempahan berbagai macam kek, muffin, cup cake dan sandwich dalam kuantiti yang banyak. Malangnya saya terpaksa menolak tempahan-tempahan tersebut. Alasan saya beri ialah kedai saya tak terima tempahan sebegitu. Namun saya ditanya semula, "Kenapa tak boleh?"

Agak susah nak bagi faham kepada orang yang tak mahu faham situasi perniagaan bakeri begini. Kali ini saya beri alasan "Kami tak cukup orang". Nampaknya alasan ni boleh diterima juga.

Sebenarnya andai kata kami cukup orang sekalipun, kapasiti kami hanya untuk menyediakan produk untuk dijual di kedai sahaja. Kalau nak buat tempahan cup cake sampai 1000biji ke 2000 biji ke, alamatnya kami tak boleh buat roti langsunglah satu hari tu. Bisnes kami akan terjejas sebenarnya. Dengar order seribu dua ribu nampak macam bisnes bagus. Betullah tu bisnes bagus tapi perlu ada pasukan lain untuk melakukannya. Bukan dengan mengganggu 'normal operation'.

Friday, October 12, 2007

Selamat Hari Raya

Di kesempatan ini saya mohon ampun dan maaf terutama kepada mereka yang cuba menghubungi saya. Pada akhir-akhir Ramadhan, saya dan isteri diserang demam denggi. Kami cuma berehat dirumah selama tujuh hari ini. Sekali sekala kuatkan diri juga turun ke kedai tapi tak boleh lama. Macam-macam penawarlah kami telan. Daripada air 100plus sampailah ke sup ketam. Alhamdulillah kami kembali pulih dihari terakhir Ramadhan ini. Stok kuih raya pun dah habis. Kek pun dah lama habis.

Baiklah. Saya nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Berhati-hati memandu dan juga berhati-hati dengan nyamuk aedes ok. kalau demam lain macam tu jangan tunggu lagi, cepat-cepat ke klinik untuk buat pemeriksaan darah. Okay.

Friday, August 31, 2007

Merdeka !! Merdeka !! Merdeka !!

Malaysia, selamat menyambut ulangtahun ke 50.

Sunday, July 22, 2007

Lima hari bersama Chef Anuar

Alhamdulillah, selesai sudah Kursus Kek Dan Pastri anjuran INSKEN (Institut Keusahawanan Negara). Lima hari bersama Chef Anuar di Hotel Naza, Melaka. Banyak ilmu yang saya perolehi dan paling penting sekali ialah ilmu tersebut sangat praktikal. Tercapai juga hajat saya untuk bersua dengan Chef Anuar sekaligus menjadi anak muridnya. Lima hari yang berharga itu saya tak sia-siakan begitu saja. Terima kasih Chef Anuar.
*Tak larat tulis banyak, badan letih. Maklumlah bekerja sendiri... :)


Foto: CheeseCake dan Tart hasil tangan Chef Anuar

Monday, July 09, 2007

Hari terakhir kerja di CSA

Selepas tolak-tolak cuti maka hari ini ialah hari terakhir saya bekerja di syarikat ini. Posting ini juga yang terakhir menggunakan pc kesayangan ku pc kompeni.. hehehe. Terharu la team members buat majlis perpisahan. Dalam ucapan perpisahan sempat jugalah saya bagi kata-kata hikmat "work hard and work smart" hehehe...

Bermulalah edisi survival....

*bermula esok saya cuma akan online satu jam saja selepas jam 10.30 malam. Harap maklum.

Wednesday, July 04, 2007

Panduan perniagaan kedai bakeri

MECD ada banyak menyediakan maklumat-maklumat berguna untuk usahawan.
Hari ini saya menjelajah ke laman web MECD dan mendapati 'Panduan Perniagaan Kedai Bakeri' sangat berguna untuk saya juga untuk mereka yang menceburi bidang bakeri. Bacalah dan ambil pelajaran daripadanya.

Klik pada link ini http://mecd.gov.my/files/panduan/INSKEN/Panduan%20perniagaan%20kedai%20bakeri.pdf

Saya petik sikit isi kandungan nya supaya bagi menarik untuk anda teruskan membaca.

"Memulakan sesuatu perniagaan bukan sekadar mengubah kehidupan, tetapi merupakan pelaburan kewangan utama bagi seseorang usahawan. Justeru itu sebaik sahaja mengambil keputusan untuk berniaga, anda perlu menyedari sepenuhnya komitmen yang perlu anda laksanakan."

"Lokasi merupakan faktor paling penting yang menentukan kejayaan sesuatu perniagaan runcit. Sasaran pasaran anda dan demografi pengguna memainkan peranan yang sangat besar di dalam keputusan pemilihan lokasi."

Selamat membaca.

Monday, July 02, 2007

Bakery & Partner

Sesetengah orang yang berkeinginan untuk berniaga tetapi tidak punya wang sebagai modal, memilih untuk mencari 'business partner'. Si pengusaha ni baru nak berniaga, si partner ni pula letak duit sebab nak mendapat pulangan. Si pengusaha bekerja siang malam bertungkus lumus untuk membangunkan perniagaan, si partner duduk diam-diam dapat duit. Akibatnya sudah berapa banyak kedai bakeri terpaksa 'gulung tikar' gara-gara masalah dengan partner. Kalau partner tak bawa masalah pun kita sendiri yang buat masalah sebab tak puashati atau irihati tengok partner duduk diam-diam dapat duit.

Bagi pendapat peribadi saya partnership cara ini cuma akan mengundang masalah dan amat mudah untuk berakhir dengan bisnes lingkup. Dalam bisnes kecil begini sleeping partner cuma akan menambah kepahitan dalam melalui dunia perniagaan bakeri. Bisnes bakeri bukan bisnes untuk jadi kaya raya. Dengan pulangan tak seberapa tu jangan terlalu yakin kita akan mampu beri apa yang partner kita tu akan minta. Untuk memulakan perniagaan bakeri carilah modal sendiri, bantuan atau pinjaman dari badan kerajaan berkaitan mahupun pinjaman kewangan dari bank.

Partner yang betul-betul partner ialah orang yang sanggup bekerja bersama-sama dengan kita. Keluar modal sama rata, beban tugas sama-sama buat. Masing-masing ada peranan sendiri dalam bisnes. Walaubagaimanapun berhati-hati lah juga dengan ribut taufan yang bakal melanda. Antara dua orang, salah satunya mesti jadi leader. Kalau tak ada leader, tunggu saja bila ribut tu datang. Rasakan sendiri bagaimana.

Bukan semua partnership tu tak bagus, dan sleeping partner yang paling bagus ialah isteri atau suami. Itu baru betul-betul punya sleeping partner. :)

Thursday, June 28, 2007

Zati D'hati

Kita teruskan sesi mempromosikan bisnes rakan Baker's Place.

Zati D'hati beroperasi di Pekan Pahang. Pemiliknya saya panggil Kak Zati pengunjung setia blog ini. Beliau pernah berkunjung ke kedai The Baker's Place beberapa bulan lalu. Untuk berjaya dalam usahanya Kak Zati melalui pelbagai dugaan yang tak tercapai dek akalku. Sila lah berkunjung ke fotopages Zati D'hati Orang Pahang bolehlah menghubungi beliau untuk tempahan.

http://zatidhati.fotopages.com

Tuesday, June 26, 2007

Cashflow 101

Pada Ahad lalu saya menyertai 'Bengkel Cashflow 101' anjuran PakDi dan Forum Bicara Jutawan dimana peserta bermain permainan simulasi pengurusan kewangan 'Cashflow 101'. Semua peserta adalah dari kalangan mereka yang pernah membaca buku 'Rich Dad Poor Dad' tulisan Robert T Kiyosaki. Permainan ini juga adalah hasil daripada pengalaman Robert sendiri yang diterjemahkan dalam bentuk 'board game'.

Saya tak pandai mengulas permainan ini. Almaklumlah saya ni walaupun penuh dengan budi bahasa tapi kurang tatabahasa. hahaha..
Baca saja ulasan rakan-rakan saya ini Shuth, Mat Niaga dan
Dr Azwan.

Saya mungkin boleh beri contoh hidup tentang apa yang disimulasikan oleh permainan Cashflow 101 ini. Saya lebih cenderung untuk bercakap mengenai peluang, atau dengan bahasa susahnya 'opportunity'. Cashflow 101 mengajar kita bagaimana untuk memberi respons terhadap peluang. Setiap sen dikira dan dicatat didalam Rekod Aliran Tunai. Dari situ kita tahu samada kita patut atau tidak memberi respons terhadap peluang terbentang didepan mata. Ye betul tak semua peluang kita boleh ambil begitu saja. Tengok kemampuan dulu. Tengok apa yang 'peluang' tu akan beri kepada kita dan tengok 'komitment' yang diperlukan untuk 'peluang' tersebut. 'Emosional response' juga tak kurang terlibat dalam permainan ini.

Mengkaji potensi peluang sangatlah penting, sama penting dengan mengkaji potensi masalah. Ini dilakukan sebelum kita menetapkan satu-satu keputusan. Ini dah kira topik detail.. saya ambil dari kaedah 'PPA & POA' tulisan Kepner Tregoe. (PPA-Potential Problem Analysis & POA-Potential Opportunity Analysis)

Kita lihat saja iklan perniagaan untuk diambilalih di posting sebelum ini. Itu adalah peluang bagi sesetengah orang tetapi bukanlah semua orang akan sesuai menganggapnya sebagai satu peluang. Ada juga yang teruja dan dengan cepat mengatakan itulah peluang untuknya. Dah kira habis ke cashflow awak? Peluang itu akan membawa 'Cashflow Positive' ke atau 'Cashflow Negative'? Itu lah yang permainan simulasi Cashflow 101 ini akan tunjukkan.

Untuk keluar dari 'Rat Race' (perlumbaan tikus??) kita boleh memilih untuk samada melabur dalam pemilikan saham, membeli hartanah, perniagaan ataupun tak buat apa-apa pun melainkan menerima gaji setiap bulan dan menyimpan, dan juga menghadapi kemungkinan 'downsized' serta beberapa situasi yang bakal mengejutkan.

Bagi sesiapa yang ingin mengenali permainan Cashflow 101 ini. Bolehlah berkunjung ke blog PakDi, pengasas Forum Bicara Jutawan.

*amaran!! ini bukan pelaburan skim cepat kaya. Ini satu cabang pendidikan untuk menjauhkan diri kita dari pelaburan skim cepat kaya.

Lagi kedai bakeri kita untuk diselamatkan...

Iklan ini saya petik dari blog Chef Farid bertarikh 20hb Jun 2007
-----------------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum...kepada sesiapa yg berminat untuk mengambil alih perniagaan bakeri. Butir 2 perniagaan adalah seperti berikut:

Alamat : No 8 Jalan 1/4 Taman Puchong Perdana
Peralatan : Mixer, Oven, Prover , Cake Chiller dan lain 2 lagi
Harga : Boleh dirunding

Berminat, Sila hubungi, 016-3798850 Haji Sofian / 012-2327624 Salina

-----------------------------------------------------------------------------------

Monday, June 25, 2007

Kedai bakeri buka tutup buka tutup

Kelmarin saya berkunjung ke Seksyen 7 Shah Alam. Saya dihubungi seseorang yang meminta saya membantu sekiranya boleh.

Sepasang suami isteri baru saja membeli satu perniagaan bakeri di Seksen 7 Shah Alam. Tak jauh dengan pintu masuk UITM. (dengar macam lokasi strategik kan?)
Sebenarnya saya tahu kisah sejarah awal kedai tersebut. Pasangan ini bukanlah 'owner' kedua. Mereka ni mungkin owner ketiga. Mereka membeli perniagaan tersebut dengan harga yang sangat murah. Mungkin faktor harga murah tu yang menyebabkan mereka membelinya. (Agak merbahaya kalau melayan nafsu membeli)

Mereka berdua masih bekerja. Itu masalah pertama dan utama.
Mereka tiada pekerja mahir. Itu masalah kedua.
Masalah ketiga; Kadar sewa agak tinggi (RM3300 sebulan), sebenarnya adalah paling murah di kawasan itu.
Masalah keempat, walk-in customer tak menentu.

Agak mustahil untuk mereka berhenti kerja tetapi saya punya pendapat kalau nak berniaga, berniagalah full time. Salah seorang mestilah buat full time. 'Sebagai pengusaha, kita juga mesti juga menguasa perniagaan kita' saya pinjam nasihat Chef Li. Bagi menyelamatkan operasi dapur, saya syorkan supaya mencari paling kurang dua orang pekerja berpengalaman; seorang mahir tentang kek dan seorang lagi mahir tentang roti. Untuk menampung kos sewa dan gaji pekerja, saya anggarkan jualan mestilah tidak kurang daripada 15ribu ringgit sebulan.

Tokey perlu buat marketing. Di kawasan itu tak boleh terlalu mengharap pelanggan datang ke kedai. Tokey perlu fokus. Tokey is not just a tokey. Mereka bukan membeli bisnes franchais tetapi mereka membeli bisnes yang tenat, jadi treatment terhadap bisnes tersebut sudah semestinya memerlukan fokus dan komitment 100%.

Kedai itu sebenarnya sangat sesuai juga untuk dibuat kelas memasak. Parking yang senang dan orang jauh nak cari jalan pun tak susah. Mungkin mereka boleh berbincang dengan beberapa orang pengajar bebas untuk menyertai pasukan tenaga pengajar mereka.

Harap mereka berjaya.

****************

Selepas saya berjumpa dengan pasangan tersebut, saya ke kedai bakeri yang satu lagi tak jauh dari situ, D'Kayu Manis. Kedainya bertutup rapat. Saya tanyakan dengan peniaga bersebelahan, katanya kedai bakeri tu dah lama tak buka. Tak tahu apa yang sudah berlaku. Harap-harap bisnes masih berjalan.

Cerita kedai bakeri orang Melayu buka tutup macam ni saya ceritakan bukanlah untuk menakut-nakutkan orang yang bercita-cita untuk buka kedai bakeri, tetapi ini semua adalah satu pelajaran yang perlu kita ambil kira.
Faktor 'LOCATION & MARKET' ialah faktor nombor satu.
Faktor kedua ialah 'YOU & YOURSELF'. Diri sendirilah sebenarnya yang menaikkan ataupun menjatuhkan bisnes itu sendiri.
'KNOWLEDGE & STRATEGY' kalau tak ada ilmu bagaimana mungkin nak pasang strategi berkesan.
'WORK' bisnes takkan berjalan sendiri kalau kita tak bekerja untuknya. Buka bisnes untuk jadi boss adalah satu kesilapan besar sekiranga tak ada 3 faktor diatas tu.

Cukup setakat itu. Saya tak layak untuk mengajar orang cara bagaimana untuk berniaga bakeri. Saya sendiri masih lagi belum terbukti berjaya dalam perniagaan ini. Cuma kita kalau nak menyeberang sungai kalau nak cepat sampai berenanglah, kalau ada sampan pun kena pandai berenang juga kalau sampan karam. Ikut jambatan jauh sangat tapi berbaloi juga kalau kita sabar lebih-lebih lagi kita tak pandai berenang dan tak pandai pula mendayung.
Wallahualam.

Thursday, June 21, 2007

Pembiayaan perniagaan

-sambungan-

Saya masih membicarakan tentang pembiayaan perniagaan dari sudut 'personal financial tool', dari pengalaman saya sendiri. Teknik yang saya gunakan ini tak semestinya berkesan kepada semua orang; Kalau tiru macam saya lepas tu jadi apa-apa jangan kaitkan nama saya ye. hehe. Saya cuma beritahu apa yang dah saya buat saja.

Kebanyakan orang tahu pembiayaan perniagaan MARA adalah yang terbaik setakat ini. (Selain itu ada juga SMIDEC, SME Bank, TEKUN, dan banyak lagi) Walaubagaimana pun saya mengambil jalan membuat pinjaman peribadi yang mana 'financial charges'nya dikatakan tinggi. Bagi saya ianya tidaklah terlalu tinggi. Saya kira ianya agak 'reasonable' juga. Bank beri saya 'CASH' tanpa soal jawab panjang lebar. Janji pandai pinjam pandai bayar ok.

Kad kredit juga saya gunakan sebagai satu alat yang bagus untuk membiayai perniagaan saya. Anda tahu kan kemudahan kad kredit memberikan kita tempoh 20 hari tanpa caj. Caj kad kredit dikira 'monthly rest'. Peniaga yang 'okey' tak kan tak mahu pinjam duit bank tanpa caj selama 20 hari? Pinjam 10ribu bayar balik 10 ribu sebelum 'due date'.. Okey dah tu. Namun berhati-hatilah dengan tujuan anda menggunakan kad kredit. Kalau tujuannya untuk enjoy atau semata-mata kerana ada 'sale'; hentikan segera. Kad kredit ni seumpama pisau cukur. Gunakannya untuk mencukur janggut dan misai saja. Jangan gunakan untuk mencukur satu badan okay.

Satu lagi kemudahan ialah OD (OverDraft). Ini saya baru saja belajar dari seorang kawan Kaedah ini tak boleh saya cerita di sini sebab takut jadi 'ajaran sesat'. Aziz. Saya cuma akan beritahu bahawa 'facility' ini ujud untuk digunakan oleh kita peniaga dan usahawan khasnya dan juga boleh digunakan oleh individu dengan kaedah yang betul, terancang dan berdisiplin. OD yang bercagarkan sijil ASB adalah khas untuk mereka yang layak memiliki saham ASB. Aset hartanah juga boleh dicagarkan untuk mendapatkan kemudahan OD ini. Namun berhati-hati bila menggunakan senjata tajam ye. Takut diri sendiri terluka pula.

Sekarang boleh anda gambarkan bagaimana orang yang tak layak pinjam duit kerajaan boleh 'survive' dan membangunkan perniagaan mereka tanpa bantuan kerajaan?
Sebenarnya banyak lagi cara dan alat yang boleh digunakan untuk maksud membiayai perniagaan. Saya belum melalui lagi pengalaman itu jadi saya tak mau bercerita mengenainya, nanti jadi salah maklumat pula.

Kesimpulannya, tahu buat roti saja tidak memadai :-)

Monday, June 11, 2007

Letak jawatan

Tinggalkan seketika hal biaya perniagaan; saya nak buat satu catatan sejarah untuk diri sendiri.
Tarikh ini 11hb Jun 2007 saya menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai 'Helpdesk Analyst' dengan notis satu bulan bermula dari tarikh hari ini. Maka tarikh akhir untuk saya berkhidmat di syarikat CSA(M) Berhad ini ialah pada 11hb Julai 2007 nanti. Sekian, terima kasih.

Thursday, June 07, 2007

Pembiayaan Perniagaan

(sambungan)

Semalam saya ambil cuti sehari untuk menguruskan beberapa perkara. Saya meminjam duit bapa mertua sebanyak tiga puluh ribu ringgit. Kemudian saya tambah duit saya sebanyak dua puluh ribu ringgit untuk dimasukkan kedalam akaun ASB. Bukan duit saya tapi AlRajhi Bank bagi pinjam. Ini satu dari langkah awal untuk membina 'financial platform' dalam program perancangan kewangan model AJIT oleh Aziz Ibrahim CFP.
(awas!! jangan tiru cara ini kalau tak faham cara mengendalikannya. Dapatkan nasihat perancang kewangan bertauliah)

Selesai berurusan di bank, saya terus ke menara PNB untuk membuat sijil ASB. Dari Bandar Tun Razak lalu ikut terowong SMART yang baru tu menghala ke Jalan Tun Razak. Terowong SMART memang hebat. Tak percaya pergilah masuk sana sementara percuma ni. Lepas ni tak tau lah berapa ringgit nak kena bayar tol. Sijil ASB dah sedia, hari ini saya akan hantar borang permohonan untuk akaun 'overdraft' (OD Facility). Saya akan cerita kemudian perihal OD ini.

Sebenarnya nak cerita dalam terowong Smart la ni... Semasa memandu di dalam terowong Smart tiba-tiba telefon berbunyi. Amboi hebat tu dalam terowong boleh dapat signal. Panggilan dari Chef Farid rupanya. Katanya permohonan pinjaman MARA nya dah lulus. Cuma ambil masa tiga minggu saja. Wow!! betul ke ni? Katanya lagi MARA sekarang ni ada skim mudah pinjaman untuk usahawan; pinjaman tanpa penjamin. Kami setuju untuk berjumpa dihujung minggu ini nanti. Dah lama juga tak jumpa Chef Farid. Masing-masing pun agak sibuk sejak kebelakangan ni.

(awas!! dengar orang lain dapat pinjam ni teruja. kalau tak ada apa-apa tujuan, jangan sesuka hati je meminjam ok)

-bersambung-

Monday, June 04, 2007

Pembiayaan Perniagaan

Ramai bertanya bagaimana saya membiaya kedai roti & kek ini; Mara ke? PUNB ke? SME bank ke? Semua tekaan tu tak kena.

Sejak bermula di rumah saya menggunakan bank sebagai sumber modal; saya buat pinjaman peribadi. Berbekalkan slip gaji yang tak seberapa tu saya memohon pinjaman peribadi. Ada juga yang hairan macammana boleh senang dapat pinjaman peribadi tu? Gaji besar kot hehe.. Entahlah.. Saya rasa mungkin sebab saya tak ada 'loan rumah'. Masih menyewa sampai sekarang.

Okay. Kenapa saya memilih pinjaman peribadi, kenapa tak pinjam Mara? Soalan ni pun biasa juga keluar. Sebenarnya saya dan isteri dan pernah menyertai kursus 3 hari yang Mara anjurkan tu, kursus asas perniagaan lah, pengurusan kewangan lah (lepak-lepak kat hotel.. syok tu..) dari situ kami faham bukan senang nak minta duit 'buta-buta' saja. Jadi strategi saya ialah kita mulakan perniagaan dulu biarpun secara kecil-kecilan. Kita 'impress' mereka supaya mereka percaya bahawa kita ialah orang yang paling sesuai dibantu.

Kalau diorang tak bagi pinjam duit macammana kita nak mula bisnes? Soalan tajam macamni pun ada biasa juga keluar. Saya juga pernah merungut begitu pada awalnya, tapi soalan tu saya jawab sendiri. 'Start small' 'bermula dengan apa yang ada' 'biar kecil asalkan berhasil' itulah jawapan-jawapan nya.

-bersambung-

Wednesday, May 23, 2007

The Pursuit of Happyness

“Don’t ever let somebody tell you that you can’t do something. Not even me. Alright? You got a dream you’ve got to protect it. People can’t do something themselves they wanna tell you that you can’t do it. You want something, go get it.”

Monday, May 21, 2007

Cabaran kedai Melayu

Sejak dari kedai pertama dulu sampai lah kedai kedua sekarang cabaran ini masih ujud dan mungkin akan terus ujud, hanya Allah yang tahu. Anda yang berniaga mungkin juga pernah mengalaminya. Saya membincangkan perkara ini bukan untuk menggambarkan keaiban tetapi bertujuan untuk berkongsi idea bagaimana untuk mengatasinya. Lebih sukar diatasi kerana 'sebab' atau 'punca'nya tidak dapat dipastikan secara tepat.

Cabaran yang dimaksudkan ialah 'minta kurang' atau 'minta diskaun'.

Kita biasa makan di gerai atau restoran, semasa membayar kita bayar saja harganya.
Biasa ke kedai Secret Recipe? Walaupun harganya mahal kita tak minta diskaun.
Begitu juga di kedai roti dan kek Baker's Cottage, King's dan RotiBoy, berapa cashier tu minta kita bayar saja. Lain pula keadaannya di The Baker's Place. Roti yang harga dah murah nak murah lagi, kek yang dah murah pun dengan nada sinisnya nak murah lagi. Sampai stress lah pekerja-pekerja saya tu dibuatnya.

Saya memikirkan beberapa idea untuk mengatasi fenomena ini. Saya membuat andaian ianya mungkin berpunca daripada 'appearance' kami. Kita tembak yang paling dekat dengan kita dulu ok. Asasnya ialah 'kita tak boleh ubah orang lain tetapi kita boleh ubah diri sendiri'

1- Saya akan pakaikan pekerja-pekerja saya tu dengan pakaian seragam (apron seragam) supaya mereka kelihatan seperti 'pekerja'.

2- Saya akan pakaikan 'saya' dan 'isteri saya' juga dengan pakaian seragam sama macam pekerja-pekerja lain supaya orang tak tau siapa pekerja dan siapa tokey.

3- Saya akan ikut contoh macam King's dan Baker's Cottage. Ikut lah jejak langkah mereka yang dah berjaya.

4- Meja kaunter tu bila nak tukar???

5- ada nak tambah idea?

Friday, May 18, 2007

Utusan Malaysia: BicaraJutawan dipantau kerana offer skim cepat kaya

Forum usahawan kesayangan saya dikatakan sedang dipantau kerana offer skim cepat kaya.

Forumnya di sini http://www.bicarajutawan.com
dan pengasasnya disini http://www.pakdi.net

Walaupun 'berita' ini adalah sebenarnya fitnah semata-mata; namun 'iklan percuma' dalam surat khabar ini memungkinkan lebih ramai lagi ahli baru menyertai forum itu.
Imej salah yang diberitakan oleh surat kabar ni sangat perlu diperbetulkan.

Pendidikan keusahawanan, pendidikan pengurusan kewangan, pelaburan di Bursa Malaysia, pelaburan hartanah, usahawan asas tani, berniaga pasar malam dan lain-lain pengetahuan dan pengalaman yang dikongsi sesama ahli forum dipandang curiga oleh pihak berkenaan. Tang mana tu yang skim cepat kaya tu? Nak roti kaya boleh saya buatkan Roti Cepat Kaya. (huih bagus jugak idea bagi nama roti cepat kaya ni ye..)

Monday, May 14, 2007

Hari Ibu

Selamat Hari Ibu untuk ibu-ibu seluruh negara, semoga ibu-ibu cekal menghadapi cabaran zaman ini dalam menjalankan amanah sebagai seorang ibu. Berjayanya seorang ibu diperlihatkan melalui anak-anak.

Sabtu dan Ahad ni kedai kami diserbu oleh pelanggan-pelanggan yang datang dari pelbagai kaum, dengan satu tujuan yang sama... mencari kek sempena Hari Ibu.
Kesilapan kami ialah kami tak 'allert' dengan hari-hari istimewa begini. Kami tidak buat persediaan khas untuk hari istimewa ini. Memang satu pengalaman dan pelajaran bagi kami. Akibatnya lebih 20 orang kecewa kerana ketiadaan kek. Bukan kami sahaja yang kehabisan kek, kedai-kedai lain pun tak ada kek juga. Okey lain kali The Baker's Place akan sediakan kek secukupnya untuk hari-hari istimewa begini.

**Kena cari la kalendar hari istimewa. kalau ada kawan-kawan boleh peringatkan okey juga. Lepas ni hari apa pula ya?

Thursday, April 26, 2007

My dream

Dah tamat tempoh berehat dah ni. Sempat juga ke bengkel pengurusan kewangan Aziz Ibrahim CFP. Alhamdulillah jalan dah nampak jelas. Platform kewangan perlu diusahakan. Perusahaan ini perlukan satu platform yang sangat kukuh kerana saya takkan cukup dengan satu, dua, tiga kedai saja. Orang-orang yang komited patut diberi peluang untuk mempunyai perniagaan sendiri. Lebih banyak Baker's Place akan diujudkan. You'll see it.

Friday, April 13, 2007

Ulangtahun ke-2 Baker's Place

13hb April 2005 ialah tarikh blog bakersplace ini mula dibuka.
Dalam tempoh dua tahun ini bermacam-macam peristiwa berlaku.
Pencapaian masih lagi dianggap perlahan. Tak mengapalah biar perlahan asalkan berhasil. Dalam menempuhi liku-liku perjalanan ini seringkali saya menemui jalan buntu.

Dihari ulangtahun kedua ini pun saya sedang mengalami jalan buntu itu.
Oleh itu saya nak berehat seketika, sambil baca buku Dare To Fail-Billi Lim.
Ini ke cara nak meraikan ulangtahun?
****************************************************************************

Kata Chef Li, antara kemungkinan yang bakal dihadapi jika anda memilih untuk menjadi usahawan jalanan ialah:-
1-Perlu komitmen 100%, lupakan siapa anda atau personaliti anda sebelum ini.
2-Cemuhan daripada kawan, saudara, keluarga yang tidak memahami tindakan anda.
*3-Sesekali anda dilanda kekesalan.
*4-Anda merasa tidak sabar, sensitif dan mudah jengkel.
5-Apa yang dirancang tidak menjadi.
6-Strategi yang diatur tidak mendatangkan hasil.
7-Semakin lama semakin kelam, kejayaan masih jauh seperti sebuah fatamorgana.
8-Kejayaan dirasakan masih lambat dan terlalu jauh.
*9-Merasa sangat letih dan tidak ada upaya lagi.
10-Anda mulai rasa benci kepada tempat berniaga dan barang-barang yang kena mengena dengan perniagaan anda.

Jika semua atau sebahagian dari fenomena ini berlaku, JANGAN BERHENTI tetapi bercutilah. Buat analisa atau 'review' ke atas bisnes anda. Kaji kelemahan dan kekurangan. Pergi berkursus, ceramah motivasi atau baca buku motivasi. Cari kawan-kawan yang positif, makanlah dengan berselera dan ceriakan hati anda. Mulakan kembali perniagaan insyaAllah kemungkinan yang seterusnya akan menggembirakan hati anda.

Thursday, April 12, 2007

IKLAN - Kursus Bakeri dibiayai LZS

-- IKLAN INI DIPANJANGKAN DARI BLOG
CHEFFARID --

Assalamualaikum,,,Sebagai langkah permulaan untuk merubah taraf ekonomi sesebuah keluarga, adalah mencari ilmu sebanyak mungkin sebagai persediaan, agar mempunyai kerjaya yang baik untuk memperbaiki taraf ekonomi keluarga. Sehubungan dengan itu Bakeri Ria Academy akan menganjurkan Kursus Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Peluang ini dibuka kepada Anak2 Asnaf yang telah berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor.Butir Kursus adalah:
Kursus : Certificate (SKM) Junior Baker Level 1 (6 Bulan)
Certificate (SKM) Baker Level 2 (6 Bulan)
Hari : Isnin - Jumaat
Masa : 9.00 am - 05.00 pm
Hostel & Makan Minum : Disediakan
Elaun : RM 100 sebulan
Kelayakan * 16 tahun ke atas*Boleh membaca dan menulis*Ibu Bapa telah mendaftar dengan LEMBAGA ZAKAT SELANGOR.
Segala pembiayaan pengajian akan ditanggung LZS.
Kepada sesiapa yang berminat, sila hubungi cheffarid 019-3824067 atau 03-41078917. sekian

Wednesday, April 11, 2007

Dapat orang baru

Pekerja baru saya dah berhenti kerja pada hari keempat. Dia dah dipanggil untuk melapor diri di kem latihan Port Dickson. Bagus betul budak tu minat sungguh jadi sojar. Empat hari tu sempatlah dia belajar buat roti. Pengalaman yang sangat berharga untuknya.

Semalam, jam 8 malam dengan tak disangka-sangka saya dapat seorang penganti. Ini semua kuasa Allah. Lulus temuduga, jam tu juga saya confirm suruh dia datang kerja keesokan paginya.

Dia ada ijazah 'Hot-Cat' dari UiTM. Dia sanggup terima kerja bermula dari basic. Willing to learn? willing to take the callenge? Okay she is now my new apprentice. Saya akan latih dia hingga dia boleh jaga kedai tu tanpa saya dan isteri berada disitu. Kami akan buka cawangan lagi. Jadi dengan kelebihan yang dia ada, kami akan bina satu sistem pengurusan yang sesuai dengan rancangan saya ni. Harap dia adalah pilihan yang tepat.

Tuesday, April 10, 2007

Jom masuk dapur bakeri

Anda biasa buat roti dirumah? Untuk makan seisi keluarga atau untuk jualan?
Anda berminat atau bercita-cita membuka kedai bakeri suatu hari nanti?
Anda sudah mengikuti kelas membuat roti dan ingin tahu serta merasai sendiri bagaimana dapur bakeri beroperasi?
Cakap-cakap kosong tiada gunanya. Rasakan sendiri pengalamannya sebelum anda berhasrat membuka kedai bakeri baru.

Anda boleh merasai pengalamannya SECARA PERCUMA di The Baker's Place. Anda cuma perlu bersama-sama kami dari awal proses hingga akhir proses menyediakan roti selama 4 setengah jam. Tawaran ini terhad kepada seorang sahaja bagi satu sesi. Dapur kami sempit kak oii.. :)

Kami bukan berhasrat untuk mengajar anda tetapi kami ingin berkongsi dengan anda. Sebenarnya kami lah yang akan belajar dari anda. Kita boleh berkongsi idea dan tips tentang roti.

4 setengah jam pada hujung minggu (Sabtu atau Ahad) anda akan bersama-sama kami membuat roti untuk produksi jualan pada hari tersebut.
Pagi bermula jam 8 dan berakhir jam 12.30 tengahari.
Sebelah petang pula bermula jam 2 dan berakhir pada jam 6.30 petang.
Bermakna Sabtu pagi ada seorang dan petang ada seorang. Ahad pagi juga seorang dan petang seorang.

Sesiapa yang berminat sila buat temujanji melalui telefon. Maaf SMS kadangkala tak dapat dijawab. Cepat!! Tawaran ini untuk tempoh masa terhad sahaja. Maaf, tawaran ini bukan untuk yang pertama kali belajar buat roti.

******* TAWARAN SUDAH DITUTUP ******

Monday, April 09, 2007

Satu petang bersama Kak Mis

Terkejut tiba-tiba Kak Mis muncul dari pintu belakang kedai. Saya tengah baik punya makan roti dengan kari ikan hehe...

Sabtu jam 2 petang tu, Kak Mis datang untuk sama-sama 'test' bakar kek span. Kami bancuh adunan satu kilo menggunakan sponge mix. Kami mencuba kek 5.5", 7" dan 9".
Kek 5" diisi dengan 300g adunan, 7" dengan 350g dan kek 9" diisi 500g. Temperature setting, api atas dan api bawah dicuba bagi sama 170 degree C. Sempat juga Kak Mis demo cara buat kek marble. Hasil hari itu, kek 9" kurang memuaskan. Kek 5" dan 7" nampaknya macam menjadi. Kena cuba lagi temperature setting kek 9" dilain kali.
Kek masih panas dan tak boleh dihias krim lagi, jadi kami pun teruskan dengan membancuh roti.

Kak Mis terpaksa follow sesi buat roti pula. Memang jadual buat roti untuk jualan di kedai dah lewat sikit. Kak Mis pun sporting, nak join sekali buat roti. Jadi 4 jam seterusnya Kak Mis dapatlah merasakan pengalaman meletihkan membuat roti di kedai. Tunggu sampai Cheese Stick sejuk sikit. Bekal untuk anaknya, peminat Cheese Stick. Terima kasih Kak Mis.

Ahad pagi, saya sendiri cuba bancuh kek 2 kilo adunan. Alhamdulillah semua kek jadi sangat memuaskan. Saya buat krim dan cuba pula buat deco yang ringkas. Paling senang buat hiasan coklat cair. Petang tu sempat lah jual hasil keluaran sendiri; 2 biji kek 9" (orang panggil kek sekilo). Lepas ni kami akan tingkatkan kemahiran dan saya akan rancang masa untuk kami buat kek. Walau tak dapat buat banyak tapi bolehlah menambahkan pendapatan jualan hasil tangan sendiri.

Thursday, April 05, 2007

Peta untuk ke kedai

Coba lihat ini peta....

Klik atas peta untuk lihat imej lebih besar

Monday, April 02, 2007

Baru sebulan....

Baru sebulan beroperasi, bermacam-macam pelajaran terpaksa dilalui.
Masalah kek nampak gaya macam boleh diatasi. Terima kasih kepada semua yang sudi memberikan pendapat dan cadangan.

Abang Ipin boleh menyahut cabaran 2 hari order untuk kek harijadi.
Wedding Cake ataupun kek yang nak dilukis-lukis tu kena lah juga ambil masa 7 hari.
Pada saya, ini ialah jalan penyelesaian sementara sahaja. Takkan selama-lamanya saya nak bergantung kepada Abang Ipin. Saya perlu ada 'backup'. Saya perlu fikirkan juga bagaimana nak menjaga kualiti. Ini harus kena dengan 'control' yang baik. Mana-mana yang saya susah nak control tu nanti saya akan lepaskan. Kita lihat keputusannya pada bulan kedua beroperasinya kedai ini nanti.

Esok, adik saya akan berhenti. Dia sangat diperlukan di kampung. Tak mengapalah. Mungkin nanti mana tau saya boleh buatkan satu kedai bakeri di kampung untuk diusahakan adik-beradik.
Tempatnya akan diganti dengan seorang pekerja 'part time' yang perlu dilatih. Saya suka personaliti budak ni. Bakal anggota tentera. Dia ni seorang saja yang lulus soalan tahap kedua dalam temuduga kerja. Soalan tahap kedua ni cuma ada satu soalan je.. hehehe.. Solat lima waktu tak?

Wednesday, March 28, 2007

Keperluan pelanggan

Keperluan pelanggan terhadap kek amat tinggi sekali. Selain daripada menyediakan kek ready-made, kek tempahan juga perlu di pandang serius. Kek tempahan khas seperti kek pertunangan, kek perkahwinan, kek harijadi dan kek yang memerlukan hasil kerja 'customised' memerlukan 7 hari untuk tempahan.

Masalahnya kebanyakan pelanggan yang datang adalah pelanggan yang kesuntukan masa. Mereka memerlukan kek tersebut dalam masa singkat; dua tiga ke empat hari. Dalam keadaan kemampuan yang terhad sekarang, saya terpaksa menolak tempahan tersebut. Menolak tempahan adalah petanda kurang baik untuk perniagaan ini. Apa pula pandangan pelanggan nanti. Perlu ada alternatif lain.

Setakat yang dapat saya fikirkan ialah:
1. Berhenti kerja, buat kek sendiri.(Aiyooo...!!)
2. Cari pekerja buat kek (mmm... kena kira kemampuan nak bayar gaji ni. Jualan sebulan ni tak menunjukkan tanda-tanda kemampuan lagi)
3. Cari lagi kawan yang yakin boleh membuat kek tempahan dalam masa singkat. (Siapa?? ada ka sesiapa yang sudi?)

Apa pendapat kawan-kawan?

Thursday, March 22, 2007

Petisejuk kek

Dah dua hari kedai tu hilang penyeri... Petisejuk kek terpaksa dihantar ke pusat servis CKE untuk pemeriksaan kerana mengalami penyakit terlampau sejuk.
Bayangkan kedai tu tanpa petisejuk kek ditengah.. Betul macam kedai belum siap. Waduhh..

Tuesday, March 20, 2007

Baker's Place - The Study

The Baker's Place masih lagi diperingkat percubaan. 'Appearance' nya juga masih banyak yang perlu diperkemaskan. Belum 100% siap.. Kenapa??

Tak cukup duit? Ehem.. ada la sangkut sikit. Itu lah sebab utama kenapa kedai tu masih tak dapat disiapkan 100% mengikut apa yang saya inginkan. Beroperasi secara 'apa yang ada' sahaja dulu. Namun risiko nya tetap ada; first impression pelangganlah kena diambil kira. Namun buat masa ini Alhamdulillah komuniti sekitar memberikan sokongan padu kepada kami. Mereka terus-menerus datang membeli roti dan kek di sini. Menjadi tanggungjawab kami untuk terus meningkatkan kualiti kami.

Sebab kedua ialah tak cukup masa? Bukan tak cukup masa. Semua orang dapat sama 24jam sehari, cuma saya terpaksa habiskan masa 11jam sehari untuk komitmen terhadap karier sebagai 'tukang jawab telefon'. Jangan la suruh saya berhenti kerja sekarang. Saya pernah kata kalau jualan di kedai boleh mencecah dua kali gaji saya, akan saya pertimbangkan dan buat rancangan untuk berhenti kerja dan berniaga sepenuh masa. Sekarang belum lagi.

Orang harapan saya sekarang (isteriku Fiza) bekerja di kedai dari jam 8 pagi hingga tutup kedai jam 10.30 malam. Harap-harap dia dapat bertahan sementara kedai ini masih dalam tempoh percubaan dan inilah tempoh pembelajaran yang paling sukar buat kami. Bila dah selesai nanti kami tak perlu lagi berada di kedai. Boleh fokus buat marketing pula. Sambil menjenguk peluang kedai seterusnya.. ehem. Harap kami berjaya. InsyaAllah.

Friday, March 16, 2007

ZahuriNina at The Baker's Place

Terima kasih. Bersusah payah Kak Nina naik teksi dari Pandan Jaya ke Bandar Tun Razak ni untuk hantar kek. Kesungguhan Kak Nina menghasilkan yang terbaik sangat dihargai. Nah ini dia kek coklat kukus dengan lapisan moose coklat istimewa di dalamnya; dcoration ringkas dengan lakaran piping jelly. Anda boleh dapatkan nya di The Baker's Place Bandar Tun Razak.

-klik pada foto untuk paparan lebih besar-

Tak lupa juga Kak Nina ada bagi bunga dan kad ucapan.

Wednesday, March 14, 2007

Kak Mis at The Baker's Place

Dalam kerisauan anaknya ditahan di wad hospital kerana demam panas, sempat juga Kak Mis menghantar kek ini ke kedai saya. Harap anak Kak Mis cepat sembuh dan dapat balik ke rumah.
Hasil kerja tangan Kak Mis ini saya pamerkan di dalam peti sejuk dua pintu (ni ayat Kak Mon ni hehe.) Ramai pelanggan memuji hasil seni Kak Mis ini. Masing-masing kata, "Nak order kek kawin kat sinilah nanti."

Monday, March 12, 2007

Terima kasih

Alhamdulillah.

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan dan semua pengunjung The Baker's Place yang memberikan sokongan serta mendoakan kejayaan terhadap usaha pembukaan kedai roti dan kek, The Baker's Place ini.

InsyaAllah, bermula dengan apa yang ada dulu; sedikit demi sedikit saya sedang mengusahakan penambahbaikan terhadap produk dan perkhidmatan.

Buat masa ini kedai ini dikendalikan oleh 4 orang.
Fiza - isteri saya
Ida - adik ipar
Edi - adik saya
Bahtiar - saya lah tu..

Pasukan sokongan pula menjurus kepada produksi kek terdiri daripada:
Kak Mis (naza214)
Kak Nina (zahurinina)
Sarah Jasmine
Abang Ipin
Chef Ramli

Pada peringkat permulaan ini saya akan sempurnakan dulu operasi kedai ini kepada yang lebih sistematik dan terkawal. Maklumlah kami bermula secara agak kelam kabut sedikit, maka banyak benda yang jadi tak teratur. Bila operasi kedai dah stabil nanti, barulah kami akan membuat produksi untuk dihantar keluar. Dan operasi kedai akan dilepaskan sedikit demi sedikit kepada Edi dan Ida. Target: 6 bulan

Thursday, March 08, 2007

Papantanda dah naik

Akhirnya papantanda yang ditunggu-tunggu sudahpun dipasang petang semalam.
Baru la nampak macam kedai roti..

Sarah Jasmine at The Baker's Place

Bagi menyokong produk kek di kedai, saya menjalinkan kerjasama dengan beberapa orang sahabat yang sudi bekerjasama memajukan The Baker's Place. Salah seorang (dua orang sebenarnya) darinya ialah Sarah Jasmine. Gandingan dua orang sahabat karib yang menamakan diri mereka Sarah Jasmine
Berikut adalah sampel produk yang mereka bawa semalam. Anda boleh dapatkannya di The Baker's Place Bandar Tun Razak.

Cupcakes & Brownies

Monday, March 05, 2007

Waktu perniagaan

Waktu perniagaan The Baker's Place

Isnin-Khamis : 7.30 pagi hingga 10.00 malam

Jumaat : 3.00 petang hingga 11.00 malam

Sabtu & Ahad : 7.30 pagi hingga 11.00 malam

Cuti umum juga dibuka.

Monday, February 26, 2007

The Baker's Place - sebalik tabir

Siling dan lampu pasang sendiri. Lantai tiles pasang sendiri

Wiring upah 'expert wireman' lepasan Institut Latihan Perindustrian (ILPKL)
Bebudak ni rajin kerja woo..

The Baker's Place Bandar Tun Razak

Inilah dia The Baker's Place Bandar Tun Razak yang baru 90% siap tapi dah mula berniaga. Alamatnya: 1-5, Pusat Komersial Komuniti, Bandar Tun Razak, Cheras, 56000 Kuala Lumpur.

The Baker's Place is open

Akhirnya setelah mengambilkira prosedur dan peraturan ditetapkan bahagian perlesenan DBKL, maka papantanda The Baker's Place akan dibuat begini:

Kedai Roti Dan Kek The Baker's Place sudah mula beroperasi. Pada jam 6 petang semalam sebaik-baik roti pertama keluar dari oven, saya pun membuka pintu depan kedai. Tak sampai seminit dah ada pelanggan datang membeli roti yang masih panas.

Bermula hari ini The Baker's Place akan beroperasi dari jam 7.00pagi hingga jam 11.00malam setiap hari termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Walaupun papan tanda dan rak roti belum siap tapi saya mengambil keputusan untuk terus juga memulakan perniagaan. Dua meja banquet disusun di tepi dinding, dialas kain petak-petak warna biru dan empat 'bun display case' disusun di atasnya. Memadai untuk sementara menunggu rak roti siap. Alhamdulillah. Hari pertama yang sangat mengujakan.

-foto akan disediakan kemudian-

Sunday, February 25, 2007

Cup Cakes - Homebased business

Kelihatannya sekarang 'cup-cakes' sudah ada peminat tersendiri.
Pilihan alternatif yang kreatif. Bisnes yang sesuai dijalankan dari rumah samada secara sambilan mahupun secara sepenuh masa. The Baker's Place mengambil inisiatif untuk mempromosikan rangkaian bisnes rumahan ini.

Berikut adalah beberapa blog bisnes cupcakes:
http://happycakesblog.blogspot.com
http://kekcawan.blogspot.com
http://kakyongns.fotopages.com
http://sweetfrosting.fotopages.com
tambah lagi dua
http://noveltycakes.blogspot.com
http://cuppacakes.blogspot.com
tambah lagi satu
http://flickr.com/photos/worldofbabycakes
satu lagi.
http://lynndaza.fotopages.com
dua lagi
http://onepiecebakery.fotopages.com
http://munchkincakes.fotopages.com
Update lagi home cakes business
http://flickr.com/photos/worldofbabycakes
http://naza214.fotopages.com
Lagi satu
http://zahurinina.fotopages.com

Senarai ini akan saya kemaskinikan di ruangan sebelah kanan blog ini nanti.
Sesiapa nak saya masukkan blognya ke dalam senarai tu bolehlah tinggalkan pesanan.

Wednesday, February 07, 2007

The Big Mug Cafe

Tabik spring untuk Rina dan Ayie kerana sekarang ni dah ada tiga outlet di sekitar Bandar Sri Permaisuri KL. Mereka ni ibubapa kawan sekelas anak saya di sekolah. Pasangan regu yang mantap dalam bisnes cafe ni.

Tak payah banyak celoteh sila lawat laman blog mereka. Tengok menu. Datang Bandar Sri Permaisuri, boleh cuba dia punya power masakan. ok. http://www.bigmugcafe.blogspot.com

Monday, January 22, 2007

Kerja gila, gila kerja

Alhamdulillah akhirnya siap juga pasang siling di kedai. Terpaksa juga pasang sendiri untuk menjimatkan belanja.

Hari Khamis saya terpaksa ambil lunch hour 2 jam untuk ke kilang 'ceiling board' di Jalan Chan Sow Lin bagi menempah ceiling board dengan segala 'frame' nya sekali.
Kedai saya berkeluasan 576 kaki persegi, ianya memerlukan 72 keping Gypsum Ceiling Board 4'x2'. Belanja ceiling board lengkap dengan frame semuanya ialah hanya RM498.20 sahaja.

Jumaat saya cuti setengah hari; cuti sehari manager tak bagi. Selepas Solat Jumaat tunggu punya tunggu jam 3 setengah petang baru lori sampai. Dalam hujan pula tu...
Lepas punggah semua barang dari atas lori, saya duduk menung sekejap sambil berehat dan memikirkan macammana nak mula kerja pasang siling ni. Tak pernah ku buat kerja ni. Tengok orang buat ada la. Tu kira belajar secara demo la tu ye.. hehe.

'Kerja gila' ini bermula dari jam 6 petang dibantu oleh Fiza isteriku. Panjat tangga juga lah dia. Jam 9 malam bantuan tambahan tiba, adik tiri saya baru sampai dari Kuang. Kerja diteruskan hingga jam 5 pagi (total 11 jam). Fiza pun sama-sama juga bantu menyediakan potongan dawai untuk menggantung siling dan memberikan sokongan moral juga.
Balik pukul 5 pagi, tunggu lepas subuh baru tidur dan bangun semula jam 8 pagi. Tak sampai 2 jam. Semangat giler....

Sabtu jam 9 pagi sambung kerja. Seorang lagi tenaga bantuan tambahan tiba. Kakak saya menghantar anak sulungnya untuk membantu. Kami cuma berhenti rehat untuk makan dan solat saja. Kerja tamat jam 10 malam (total 13jam). Betul-betul macam buruh paksa je. Kesian bebudak tu... Ni kerja gila ke gila kerja namanya ni?

Hari Ahad kami start tengahari. Buat kerja ringan saja. Touch-up mana yang patut sambil buat wiring pasang lampu.
Untuk siling ni saya anggarkan penjimatan sebanyak RM1200 ke RM1500. Alhamdulillah. :)

Dah siap sedia untuk pasang lantai 'tiles' dalam minggu ini juga. InsyaAllah pasang tiles sendiri juga nanti. Gambar? nanti dah siap baru upload ok :)

Monday, January 15, 2007

HappyCakes

Hari ni sekali lagi saya nak promosikan produk sahabat kita ni.
Dari mula hingga sekarang dia terus melangkah maju dengan penuh semangat.
Diharap pada 2007 ini jaringan kerjasama bakers se Malaya akan lebih berkembang lagi :)

KLIK PADA GAMBAR UNTUK MENDAPATKAN GAMBAR YANG LEBIH BESAR

Thursday, January 11, 2007

Slow Progress

Progress kedai baru ni agak perlahan. Selepas pindah semua peralatan ke kedai Ahad lepas, masih belum ada apa-apa perkembangan terbaru.
Masih menunggu beberapa perkara yang belum diselesaikan.
Mood untuk update blog juga terjejas ni.. hehe

Sambil menunggu ni saya sempat juga ambil kelas part time Cake Decoration di Malaysia Institute of Baking (MIB) di Petaling Jaya. Dapatlah berkenal-kenal dengan Master Chef Don Yong. Semalam kantoi la dengan dia.... "I see you hold that thing I suda tau ini orang bukan orang baru punya.." Ammakk!!! Kantoi...
"Takde la. Saya biasa buat roti saja sikit-sikit, ini kek saya tak berapa pandai..."

Monday, January 01, 2007

Selamat Tahun Baru 2007

Masih belum terlewat untuk mengucapan kepada anda semua
SELAMAT TAHUN BARU 2007 DAN SELAMAT HARI RAYA HAJI

Semoga pada tahun ini kita akan lebih berjaya lagi dan lagi. InsyaAllah.
Amin..