Friday, January 27, 2006

Selamat Tahun Baru

Selamat Tahun Baru 1427 Hijrah.

Tahun ni nak gi daftar dengan Tabung Haji. Kata orang kalau daftar tahun ni tunggu giliran 5 ke 7 tahun lagi. Daftar ler dulu. Lima tahun lagi tu sempatler buat persediaan. Itulah azam tahun baru saya ni. Asik tengok orang gi Mekah je, sendiri pun nak gak pergi ye tak. Selamat Tahun Baru.

Thursday, January 26, 2006

Senang ke buat roti?

Okay nak modify sikit post yang lepas. Taruk resepi sekali. Resepi standard dari kilang tepung cap kunci.

Bahan:
1000g tepung high protein
20g instant yeast
5g bread improver
15g garam
50g susu tepung
250g gula pasir

450g air sejuk (sejuk ais)
2 biji telur gred-B
100g butter atau marjerin
100g shortening

Cara Membuat:
Campurkan semua bahan yang kering dan gaulkan. Kemudian masukkan telur & air, adun rata sekitar 5 minit sehingga dapat satu doh kasar. Masukkan butter/margarine dan shortening dan uli lagi 20 minit sehingga dapat doh yang kenyal. Rehatkan doh dalam bekas bertutup sekitar 15minit, kemudian potong, timbang 50g atau 60g setiap satu dan bulatkan. Rehatkan lagi sekitar 10minit, lalu bentuk atau isi sesuai selera. Rehatkan lagi sekitar 60 ke 75minit atau 2 kali ukuran asal. Bakar dalam oven dengan suhu 180 darjah C selama 15 ke 20 minit hingga kekuningan.


Uli doh sehingga cukup kenyal.

Ni lepas ferment dua kali saiz, masukkan ke dalam devider tray

Lepas tu guna devider machine. Dapat ler 36 ketul.

Lepas tu rounding. Lepas tu bentukkan lah sesuka hati.

susun dalam tray pembakar, lepas tu final ferment guna ferment cabinet.

Masukkan ke dalam oven.

Dah siap, sejukkan dan bungkus.

Monday, January 23, 2006

Henti sementara

Dah seminggu jualan di stesen LRT dijaga oleh adik ipar. Khamis lalu dia ditegur oleh 'pakcik LRT'. Ada orang komplen tak boleh berniaga disitu katanya. Mulanya saya nak ignore saja. Tapi saya fikir selama ini saya yang jaga takde masalah pun. Tak siapa pun nak komplen. Ni mesti ada sebab lain ni....

Maka saya pun buat tinjauan. Tanya kat makcik-makcik yang berniaga dekat-dekat situ. Ada lah sebab-sebab yang munasabah. Bebudak tu mula je berniaga kat situ ramai lah budak-budak lain jadikan tempat tu sebagai tempat berlonggok. Dah jadi macam tempat lepak kanak-kanak terbiar lah pulak. Patutlah kalau saya datang je nampak ramai budak-budak beredar tinggalkan tempat tu. Ingatkan diorang beli roti pastu gi balik ler.. Rupanya diorang takut kat tokey roti kepala botak ni rupanya... Orang lain dia tak takut. Jumaat dan Sabtu saya cutikan adik ipar dengan kawan dia tu. Sambil pikir rancangan lain.

Mulanya nak terminate je adik ipar tu. Pikir balik, bukan nya salah bebudak tu. Budak-budak terbiar tu nak melepak kat situ. Halau camna pun diorang tak pergi.

Hari Sabtu saya tak berniaga. Dengar cerita tengahari tu mamak jual cendol & rojak dah kena hangkut dengan DBKL. Huh. mujurlah saya tak berniaga hari tu. Allah maha mengetahui.

Pikir-punya pikir saya kata, "Okay. Hari Ahad kita mula. Berniaga kat tempat korang selalu lepak" Lokasinya ialah di ruang kosong dekat dengan lif. Tempat tu memang port tempat lepak bebudak. Hah. sesuai lah tu. Buat masa ni target customer ialah budak-budak lepak, budak sekolah, dan orang yang lalu-lalang melalui blok 98 tu. Jualan hari Ahad tu sangat bagus. Cuma berbaki 2 biji roti saja. Tu pun bagi kat bebudak yang tolong angkat kerusi meja. Budak dua orang ni punya aura kuat lor.. hehe. Setidak-tidaknya bebudak ni didedahkan dengan dunia perniagaan. Lepas ni nak cari apprentice untuk jual roti dari rumah ke rumah lah pulak. hehe. "Daripada korang melepak, lebih baik korang jual roti".

Stesen LRT macammana? Tu nanti dulu nak pikir lagi. Kena tunggu keadaan reda dulu. Alamatnya ada lah yang talipon tanya bila nak jual Egg Tart...

Hari ni saya ada urusan yang sangat penting. Mungkin saya tak update blog ni seminggu dua ni. Selesai urusan tu nanti saya akan update. Nampaknya target 2006 sedang berada di depan mata. Harap saya boleh kendalikannya dengan baik. InsyaAllah.

Tuesday, January 17, 2006

Habis lichin bang...

Alhamdulillah. Result jualan semalam sangat meng'giur'kan. Inilah razqi karuniaan Ilahi. Roti 117pcs dan Egg Tart 57pcs semuanya habis dijual. "Lichin bang, tinggal tray kosong jer.."

Bebudak tu pun ceria je balik ke rumah. Mak mertua dengan pak mertua pun dok bagi sokongan moral pasal anak istimewa dia dah ada kerja. Kerja jual roti dengan abang ipar.

Teruskan dik. Kita belajar menguasai jalanan dulu. Mak abah akan bangga dengan kau.

Monday, January 16, 2006

Baik punya jual

Jumaat malam saya bancuh roti 2 kilo dan buat 4 jenis roti; Pizza Bun, Sosej Roll, Sosej Double Bun dan Red Bean Bun. Semuanya 72pcs. Esoknya (Sabtu 14/1/06) jam 7.30 pagi saya bawa semua barangan ke stesen LRT. Saya susun 2 meja dan mula jual roti di tempat biasa. Ini first time susun 2 meja. produk nampak pelbagai dan menarik. Tak sangka jualan sangat bagus pagi tu. Barangan hampir separuh berjaya dijual. Saya tutup gerai jam 9.15 pagi. Tutup sementara je.

Balik rumah saya sediakan Egg Tart 30 biji dan bancuh roti lagi 3 kilo! Dapat lagi 108 bun. Hari ni saya nak tengok boleh jual 5 kilo ke tidak. Saya letak 6 botol air mineral botol kecik. Apa saja dijual satu ringgit kecuali Egg Tart hanya 70sen saja satu. Jam 12 tengahari seperti yang dijanjikan adik ipar dan kawannya dah tunggu di stesen LRT. Saya sampai saja terus set meja dan semua barangan. "ok. hari ni kita jual sampai pukul 7. Kalau band***** datang jangan lari, tunggu je." "ok bang!"
Tak sangka berani gak bebudak pompuan dua orang ni. Selesai serah tugas saya pun balik kerumah. Berehat lah dulu sebab penat kerja dari pagi. Hasil hari Sabtu sangat menggalakkan.

Ahad pagi lepas subuh saya bancuh roti 3 kilo lagi; untuk jualan mula tengahari. Sampai jam 7 petang cuma berbaki 10pcs sahaja. yang lain dengan Egg Tart dengan air mineral sekali laris.

Malamnya saya bancuh lagi 3 kilo untuk jualan hari Isnin, hari ni lah. Tambah lagi satu roti design baru. Tak tau lagi macammana jualannya hari bekerja ni. Cuba dulu 3 kilo. Petang nanti isteri sediakan 60pcs egg tart, lepas balik opis nanti saya akan hantar egg tart ke sana. Lepas tu terus balik ke rumah dan bancuh untuk jualan esok pulak. Segalanya mesti jalan ikut jadual.

Friday, January 13, 2006

Saya akan tetap berniaga

Semalam saya ambil cuti setengah hari untuk ke DBKL. Mulanya saya ke Pusat Komersial Komuniti Bandar Tun Razak. Jawapan yang saya terima ialah "Dah takde kosong dah" walaupun tingkat 3 tu separuh lagi memang kosong. Saya dinasihatkan supaya berjumpa dengan pegawai di HQ DBKL di tingkat-4 Wisma PKNS. Saya terus naik LRT ke sana. Saya jumpa dengan pegawai berkenaan dan sekali lagi jawapannya "Dah takde kosong dah". Katanya senarai menunggu dah ramai. Saya kata saya bukannya nak buka kedai Tomyam atau kedai nasi lemak yang dah banyak tu. Saya nak buka kedai bakery. Bandar Tun Razak ni tak ada satu pun kedai bakery. Nampak gaya dia dah tutup pintu hati dia lalu saya tukar tajuk sikit; tanya kalau ada kekosongan di lokasi lain. Ada!! di Jalan Wirawati, dekat Kampung Pandan. Lepas ucap terima kasih, saya ke kaunter untuk mengambil borang permohonan tapak niaga Jln Wirawati tetapi borang tu saya akan gunakan untuk mohon di Bandar Tun Razak juga. Kalau cakap nak borang Bandar Tun Razak memang confirm borang pun dia takkan bagi (dah pernah mintak borang dah 2 bulan lepas). (Hai nak minta borang permohonan pun takkan tak boleh? Lulus ke tak lulus ke tu lain hal. Aku ada hak nak buat permohonan.)

Lepas dapat borang tu saya terus ke pejabat Persatuan Penjaja & Pekedai Bumiputera WP tak jauh dari situ. Saja berjumpa dengan Yang Dipertua persatuan. Bila dia dengar Jalan Wirawati terus dia tunjukkan muka tak setuju. Dia nasihatkan saya survey dulu tempat tu. Tempat tu kosong sebab lokasi yang tak strategik. Walau macam manapun dia suruh survey dulu. Hah sambil tu panjang lebar lah saya diberi syarahan 1 jam. Masuk lah tajuk Undang-undang Tubuh, Perlembagaan Malaysia dan hak kita sebagai warganegara. Terbakar lah semangat dibuatnya.

Saya sendiri pun kurang minat juga dengan lokasi Jln Wirawati tu. Jauh dari rumah dan takde public transport, susah isteri dan pekerja nak kesana nanti. Saya nak Bandar Tun Razak juga. Saya orang Bandar Tun Razak. Kenapa saya tak boleh berniaga kat sini? Kalau tak dapat kedai sekalipun saya akan tetap berniaga. Kalau tak dapat lesen sekalipun saya akan tetap berniaga. Kalau kena saman sekalipun SAYA AKAN TETAP BERNIAGA.

Balik rumah saya dah sediakan satu rancangan. Tahun 2006 ini perniagaan saya mesti ditingkatkan. Saya dah bincang dengan adik ipar dan seorang kawan dia. Saya merancang untuk fokus terhadap produksi dan adik ipar uruskan hal jualan. Jadi saya ada ruang masa untuk tambah produk, buat kek. Saya akan libatkan ahli keluarga dan adik beradik dalam bisnes ni.

Entri kali ni bukan nak kondem DBKL. Tidak sekali-kali. Kondem DBKL tu sama lah macam kondem kakak, abang ipar, Tok Cik dan kawan-kawan saya. DBKL banyak berjasa kepada penduduk KL. Saya cuma nak menceritakan bagaimana saya merintis jalan ni sebagai pelajaran dan rujukan dimasa depan. Masih ada ruang untuk improvement.

Hari ini saya menjaja macam biasa; di tepi jalan depan LRT Bandar Tun Razak.
Nasihat YDP persatuan, "Kalau kita nak benda tu jangan kita berhenti usaha. Kalau kita terus usaha, benda yang kita tak dapat tu insyaAllah kita akan dapat. Jangan lupa hubungan kita dengan Allah, Hanya Allah tempat kita bergantung".

Tuesday, January 10, 2006

Kedai vs Rumah

Dua bulan yang lalu saya mengajar seorang kawan untuk buat roti. Dia dah mula buat roti di rumah dan jual roti sekarang ni. Dia letak roti di kantin sekolah, restoran dan gerai makan. Hari Sabtu lepas saya ke rumahnya di Shah Alam. Alhamdulillah hasil dari jual roti tu dapatlah dia meneruskan 'survival' untuk menyara isteri dan tiga anak. Saya harap dia akan terus maju dan meningkat.

Lepas jumpa kawan tu, saya ke seksyen 7 pula. Saya cari satu kedai roti. Ni kisah kawan lain pulak. Kawan ni saya kenal sebab isteri dia dan isteri saya sama-sama menyertai kursus MARA tahun lepas. Khabarnya dia dah buka satu kedai bakery. Sampai sana kedai tu tutup rapat. Saya tak sedap hati terus saya tanya di kedai sebelah. Dapat nombor telefon tapi tak dapat dihubungi. Terus saya ke alamat premis Smart Readers yang ada kat namecard dia. Tanya pulak kat situ barulah saya dapat nombor phone baru. Dapat alamat rumah terus saya ke sana.

Memang sah kedai tu dah ditutup dan perniagaan bakery sudah dijual. Dia cuma buka kedai tu 2 bulan saja. Sembang punya lama korek-korek rahsia kegagalan. Kenapa kedai bakery boleh gagal? Dia sendiri cerita sebab-sebab dia gagal.

1. Sewa terlalu mahal, RM3500 sebulan. Untung lesap untuk bayar sewa saja.
2. Tak ramai Walk-in customer. Kawasan baru buka.
3. Kemampuan mempelbagaikan produk, baru belajar.

Katanya dia terpaksa buat roti dan supply ke kantin-kantin sekolah. Dia tengok pendapatan supply ke kantin jauh lebih banyak; jadi tak perlu dia membazir buka kedai. Sekarang dia buat roti dirumah saja. Hidup lebih senang.

Dia sendiri mengaku buat kesilapan, terburu-buru buka kedai. Walaubagaimanapun pada saya itu adalah satu proses pembelajaran, dan tak salah kalau saya menumpang pelajaran dia tu. Belajar dari kegagalan orang lain supaya kita sendiri tak buat kesilapan yang sama.

Saya perlu pertimbangkan faktor-faktor tu supaya saya tak tersilap langkah. Saya akui buat perniagaan dari rumah memang berbaloi tapi tak salah kan kalau saya bercita-cita untuk buka kedai. Itu cuma satu cara untuk saya merintis jalan, tak kan selamanya buat roti dirumah. Terdapat banyak juga limitation kalau buat roti di rumah.

Selamat Hari Raya Aidiladha

Salam Aidiladha buat semua muslimin dan muslimat. Semoga pengorbanan yang dilakukan diterima oleh Allah hendaknya.

Monday, January 02, 2006

Permulaan tahun 2006

Tahun 2006 ni The Baker's Place berwajah baru. Tukar sikit je cukup la kan.

Sabtu 31 Disember hari tu saya tak jadi ke KLCC tapi kawan saya yang sorang tu minta saya buatkan roti untuk dia jual di KLCC pada malam tahun baru. Saya sediakan 6 kilo adunan menghasilkan 216 bun roti. Saya buat Pizza Bun dan Red Bean Bun.
Nak dijadikan cerita sejak petang tu sampailah kemalam hujan turun sambung menyambung. Maka jualan pada malam tu tidak seberapa. Kawan tu tunggu sampai pukul 3 pagi. Saya yang menunggu dirumah dok pikir teruk lah roti aku tak laku hari ni, nak buat camana...

Ahad pagi kawan tu telefon, roti cuma laku 71 saja, ada 145 lagi tak terjual. Sedih betul tengok hasil kerja buat roti selama 6 jam tu tak terusik pun. Penat wo buat roti. Sedih sedih.

Dalam dok menung depan roti tu Jam dah pukul 4.15 petang. Tetiba saya panggil isteri, "jom gi jual roti". Saya masukkan semua peralatan menjaja dan roti ke dalam kereta. Kemana lagi kalau tidak ke flat Sri Kota. Langit dah kelihatan gelap dengan mendung yang hitam tebal. Dah nak hujan la ni. Isteri mencadangkan supaya jangan menjaja di stesen LRT tapi cuba menjaja di depan lif blok 98. Kami set meja kat depan pintu masuk blok 98. Bermulalah jualan murah roti pizza. "Mari, mari.. Beli dua percuma satu!! Harga musim hujan.. Cepat dik hujan dah mari. Jual murah kasi habis.!!"
Apa lagi bebudak yang lalu-lalang kat situ mulanya tengok-tengok je. Lepas setengah jam memasing turun dengan duit di tangan. Saya pulak yang tak cukup tangan.

Alhamdulillah, jam 6 petang saja semuanya habis licin dijual. Meja dah lipat tapi masih lagi ada budak tanya roti ada lagi ke... Rezeki 2006. Alhamdulillah.