Thursday, June 28, 2007

Zati D'hati

Kita teruskan sesi mempromosikan bisnes rakan Baker's Place.

Zati D'hati beroperasi di Pekan Pahang. Pemiliknya saya panggil Kak Zati pengunjung setia blog ini. Beliau pernah berkunjung ke kedai The Baker's Place beberapa bulan lalu. Untuk berjaya dalam usahanya Kak Zati melalui pelbagai dugaan yang tak tercapai dek akalku. Sila lah berkunjung ke fotopages Zati D'hati Orang Pahang bolehlah menghubungi beliau untuk tempahan.

http://zatidhati.fotopages.com

Tuesday, June 26, 2007

Cashflow 101

Pada Ahad lalu saya menyertai 'Bengkel Cashflow 101' anjuran PakDi dan Forum Bicara Jutawan dimana peserta bermain permainan simulasi pengurusan kewangan 'Cashflow 101'. Semua peserta adalah dari kalangan mereka yang pernah membaca buku 'Rich Dad Poor Dad' tulisan Robert T Kiyosaki. Permainan ini juga adalah hasil daripada pengalaman Robert sendiri yang diterjemahkan dalam bentuk 'board game'.

Saya tak pandai mengulas permainan ini. Almaklumlah saya ni walaupun penuh dengan budi bahasa tapi kurang tatabahasa. hahaha..
Baca saja ulasan rakan-rakan saya ini Shuth, Mat Niaga dan
Dr Azwan.

Saya mungkin boleh beri contoh hidup tentang apa yang disimulasikan oleh permainan Cashflow 101 ini. Saya lebih cenderung untuk bercakap mengenai peluang, atau dengan bahasa susahnya 'opportunity'. Cashflow 101 mengajar kita bagaimana untuk memberi respons terhadap peluang. Setiap sen dikira dan dicatat didalam Rekod Aliran Tunai. Dari situ kita tahu samada kita patut atau tidak memberi respons terhadap peluang terbentang didepan mata. Ye betul tak semua peluang kita boleh ambil begitu saja. Tengok kemampuan dulu. Tengok apa yang 'peluang' tu akan beri kepada kita dan tengok 'komitment' yang diperlukan untuk 'peluang' tersebut. 'Emosional response' juga tak kurang terlibat dalam permainan ini.

Mengkaji potensi peluang sangatlah penting, sama penting dengan mengkaji potensi masalah. Ini dilakukan sebelum kita menetapkan satu-satu keputusan. Ini dah kira topik detail.. saya ambil dari kaedah 'PPA & POA' tulisan Kepner Tregoe. (PPA-Potential Problem Analysis & POA-Potential Opportunity Analysis)

Kita lihat saja iklan perniagaan untuk diambilalih di posting sebelum ini. Itu adalah peluang bagi sesetengah orang tetapi bukanlah semua orang akan sesuai menganggapnya sebagai satu peluang. Ada juga yang teruja dan dengan cepat mengatakan itulah peluang untuknya. Dah kira habis ke cashflow awak? Peluang itu akan membawa 'Cashflow Positive' ke atau 'Cashflow Negative'? Itu lah yang permainan simulasi Cashflow 101 ini akan tunjukkan.

Untuk keluar dari 'Rat Race' (perlumbaan tikus??) kita boleh memilih untuk samada melabur dalam pemilikan saham, membeli hartanah, perniagaan ataupun tak buat apa-apa pun melainkan menerima gaji setiap bulan dan menyimpan, dan juga menghadapi kemungkinan 'downsized' serta beberapa situasi yang bakal mengejutkan.

Bagi sesiapa yang ingin mengenali permainan Cashflow 101 ini. Bolehlah berkunjung ke blog PakDi, pengasas Forum Bicara Jutawan.

*amaran!! ini bukan pelaburan skim cepat kaya. Ini satu cabang pendidikan untuk menjauhkan diri kita dari pelaburan skim cepat kaya.

Lagi kedai bakeri kita untuk diselamatkan...

Iklan ini saya petik dari blog Chef Farid bertarikh 20hb Jun 2007
-----------------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum...kepada sesiapa yg berminat untuk mengambil alih perniagaan bakeri. Butir 2 perniagaan adalah seperti berikut:

Alamat : No 8 Jalan 1/4 Taman Puchong Perdana
Peralatan : Mixer, Oven, Prover , Cake Chiller dan lain 2 lagi
Harga : Boleh dirunding

Berminat, Sila hubungi, 016-3798850 Haji Sofian / 012-2327624 Salina

-----------------------------------------------------------------------------------

Monday, June 25, 2007

Kedai bakeri buka tutup buka tutup

Kelmarin saya berkunjung ke Seksyen 7 Shah Alam. Saya dihubungi seseorang yang meminta saya membantu sekiranya boleh.

Sepasang suami isteri baru saja membeli satu perniagaan bakeri di Seksen 7 Shah Alam. Tak jauh dengan pintu masuk UITM. (dengar macam lokasi strategik kan?)
Sebenarnya saya tahu kisah sejarah awal kedai tersebut. Pasangan ini bukanlah 'owner' kedua. Mereka ni mungkin owner ketiga. Mereka membeli perniagaan tersebut dengan harga yang sangat murah. Mungkin faktor harga murah tu yang menyebabkan mereka membelinya. (Agak merbahaya kalau melayan nafsu membeli)

Mereka berdua masih bekerja. Itu masalah pertama dan utama.
Mereka tiada pekerja mahir. Itu masalah kedua.
Masalah ketiga; Kadar sewa agak tinggi (RM3300 sebulan), sebenarnya adalah paling murah di kawasan itu.
Masalah keempat, walk-in customer tak menentu.

Agak mustahil untuk mereka berhenti kerja tetapi saya punya pendapat kalau nak berniaga, berniagalah full time. Salah seorang mestilah buat full time. 'Sebagai pengusaha, kita juga mesti juga menguasa perniagaan kita' saya pinjam nasihat Chef Li. Bagi menyelamatkan operasi dapur, saya syorkan supaya mencari paling kurang dua orang pekerja berpengalaman; seorang mahir tentang kek dan seorang lagi mahir tentang roti. Untuk menampung kos sewa dan gaji pekerja, saya anggarkan jualan mestilah tidak kurang daripada 15ribu ringgit sebulan.

Tokey perlu buat marketing. Di kawasan itu tak boleh terlalu mengharap pelanggan datang ke kedai. Tokey perlu fokus. Tokey is not just a tokey. Mereka bukan membeli bisnes franchais tetapi mereka membeli bisnes yang tenat, jadi treatment terhadap bisnes tersebut sudah semestinya memerlukan fokus dan komitment 100%.

Kedai itu sebenarnya sangat sesuai juga untuk dibuat kelas memasak. Parking yang senang dan orang jauh nak cari jalan pun tak susah. Mungkin mereka boleh berbincang dengan beberapa orang pengajar bebas untuk menyertai pasukan tenaga pengajar mereka.

Harap mereka berjaya.

****************

Selepas saya berjumpa dengan pasangan tersebut, saya ke kedai bakeri yang satu lagi tak jauh dari situ, D'Kayu Manis. Kedainya bertutup rapat. Saya tanyakan dengan peniaga bersebelahan, katanya kedai bakeri tu dah lama tak buka. Tak tahu apa yang sudah berlaku. Harap-harap bisnes masih berjalan.

Cerita kedai bakeri orang Melayu buka tutup macam ni saya ceritakan bukanlah untuk menakut-nakutkan orang yang bercita-cita untuk buka kedai bakeri, tetapi ini semua adalah satu pelajaran yang perlu kita ambil kira.
Faktor 'LOCATION & MARKET' ialah faktor nombor satu.
Faktor kedua ialah 'YOU & YOURSELF'. Diri sendirilah sebenarnya yang menaikkan ataupun menjatuhkan bisnes itu sendiri.
'KNOWLEDGE & STRATEGY' kalau tak ada ilmu bagaimana mungkin nak pasang strategi berkesan.
'WORK' bisnes takkan berjalan sendiri kalau kita tak bekerja untuknya. Buka bisnes untuk jadi boss adalah satu kesilapan besar sekiranga tak ada 3 faktor diatas tu.

Cukup setakat itu. Saya tak layak untuk mengajar orang cara bagaimana untuk berniaga bakeri. Saya sendiri masih lagi belum terbukti berjaya dalam perniagaan ini. Cuma kita kalau nak menyeberang sungai kalau nak cepat sampai berenanglah, kalau ada sampan pun kena pandai berenang juga kalau sampan karam. Ikut jambatan jauh sangat tapi berbaloi juga kalau kita sabar lebih-lebih lagi kita tak pandai berenang dan tak pandai pula mendayung.
Wallahualam.

Thursday, June 21, 2007

Pembiayaan perniagaan

-sambungan-

Saya masih membicarakan tentang pembiayaan perniagaan dari sudut 'personal financial tool', dari pengalaman saya sendiri. Teknik yang saya gunakan ini tak semestinya berkesan kepada semua orang; Kalau tiru macam saya lepas tu jadi apa-apa jangan kaitkan nama saya ye. hehe. Saya cuma beritahu apa yang dah saya buat saja.

Kebanyakan orang tahu pembiayaan perniagaan MARA adalah yang terbaik setakat ini. (Selain itu ada juga SMIDEC, SME Bank, TEKUN, dan banyak lagi) Walaubagaimana pun saya mengambil jalan membuat pinjaman peribadi yang mana 'financial charges'nya dikatakan tinggi. Bagi saya ianya tidaklah terlalu tinggi. Saya kira ianya agak 'reasonable' juga. Bank beri saya 'CASH' tanpa soal jawab panjang lebar. Janji pandai pinjam pandai bayar ok.

Kad kredit juga saya gunakan sebagai satu alat yang bagus untuk membiayai perniagaan saya. Anda tahu kan kemudahan kad kredit memberikan kita tempoh 20 hari tanpa caj. Caj kad kredit dikira 'monthly rest'. Peniaga yang 'okey' tak kan tak mahu pinjam duit bank tanpa caj selama 20 hari? Pinjam 10ribu bayar balik 10 ribu sebelum 'due date'.. Okey dah tu. Namun berhati-hatilah dengan tujuan anda menggunakan kad kredit. Kalau tujuannya untuk enjoy atau semata-mata kerana ada 'sale'; hentikan segera. Kad kredit ni seumpama pisau cukur. Gunakannya untuk mencukur janggut dan misai saja. Jangan gunakan untuk mencukur satu badan okay.

Satu lagi kemudahan ialah OD (OverDraft). Ini saya baru saja belajar dari seorang kawan Kaedah ini tak boleh saya cerita di sini sebab takut jadi 'ajaran sesat'. Aziz. Saya cuma akan beritahu bahawa 'facility' ini ujud untuk digunakan oleh kita peniaga dan usahawan khasnya dan juga boleh digunakan oleh individu dengan kaedah yang betul, terancang dan berdisiplin. OD yang bercagarkan sijil ASB adalah khas untuk mereka yang layak memiliki saham ASB. Aset hartanah juga boleh dicagarkan untuk mendapatkan kemudahan OD ini. Namun berhati-hati bila menggunakan senjata tajam ye. Takut diri sendiri terluka pula.

Sekarang boleh anda gambarkan bagaimana orang yang tak layak pinjam duit kerajaan boleh 'survive' dan membangunkan perniagaan mereka tanpa bantuan kerajaan?
Sebenarnya banyak lagi cara dan alat yang boleh digunakan untuk maksud membiayai perniagaan. Saya belum melalui lagi pengalaman itu jadi saya tak mau bercerita mengenainya, nanti jadi salah maklumat pula.

Kesimpulannya, tahu buat roti saja tidak memadai :-)

Monday, June 11, 2007

Letak jawatan

Tinggalkan seketika hal biaya perniagaan; saya nak buat satu catatan sejarah untuk diri sendiri.
Tarikh ini 11hb Jun 2007 saya menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai 'Helpdesk Analyst' dengan notis satu bulan bermula dari tarikh hari ini. Maka tarikh akhir untuk saya berkhidmat di syarikat CSA(M) Berhad ini ialah pada 11hb Julai 2007 nanti. Sekian, terima kasih.

Thursday, June 07, 2007

Pembiayaan Perniagaan

(sambungan)

Semalam saya ambil cuti sehari untuk menguruskan beberapa perkara. Saya meminjam duit bapa mertua sebanyak tiga puluh ribu ringgit. Kemudian saya tambah duit saya sebanyak dua puluh ribu ringgit untuk dimasukkan kedalam akaun ASB. Bukan duit saya tapi AlRajhi Bank bagi pinjam. Ini satu dari langkah awal untuk membina 'financial platform' dalam program perancangan kewangan model AJIT oleh Aziz Ibrahim CFP.
(awas!! jangan tiru cara ini kalau tak faham cara mengendalikannya. Dapatkan nasihat perancang kewangan bertauliah)

Selesai berurusan di bank, saya terus ke menara PNB untuk membuat sijil ASB. Dari Bandar Tun Razak lalu ikut terowong SMART yang baru tu menghala ke Jalan Tun Razak. Terowong SMART memang hebat. Tak percaya pergilah masuk sana sementara percuma ni. Lepas ni tak tau lah berapa ringgit nak kena bayar tol. Sijil ASB dah sedia, hari ini saya akan hantar borang permohonan untuk akaun 'overdraft' (OD Facility). Saya akan cerita kemudian perihal OD ini.

Sebenarnya nak cerita dalam terowong Smart la ni... Semasa memandu di dalam terowong Smart tiba-tiba telefon berbunyi. Amboi hebat tu dalam terowong boleh dapat signal. Panggilan dari Chef Farid rupanya. Katanya permohonan pinjaman MARA nya dah lulus. Cuma ambil masa tiga minggu saja. Wow!! betul ke ni? Katanya lagi MARA sekarang ni ada skim mudah pinjaman untuk usahawan; pinjaman tanpa penjamin. Kami setuju untuk berjumpa dihujung minggu ini nanti. Dah lama juga tak jumpa Chef Farid. Masing-masing pun agak sibuk sejak kebelakangan ni.

(awas!! dengar orang lain dapat pinjam ni teruja. kalau tak ada apa-apa tujuan, jangan sesuka hati je meminjam ok)

-bersambung-

Monday, June 04, 2007

Pembiayaan Perniagaan

Ramai bertanya bagaimana saya membiaya kedai roti & kek ini; Mara ke? PUNB ke? SME bank ke? Semua tekaan tu tak kena.

Sejak bermula di rumah saya menggunakan bank sebagai sumber modal; saya buat pinjaman peribadi. Berbekalkan slip gaji yang tak seberapa tu saya memohon pinjaman peribadi. Ada juga yang hairan macammana boleh senang dapat pinjaman peribadi tu? Gaji besar kot hehe.. Entahlah.. Saya rasa mungkin sebab saya tak ada 'loan rumah'. Masih menyewa sampai sekarang.

Okay. Kenapa saya memilih pinjaman peribadi, kenapa tak pinjam Mara? Soalan ni pun biasa juga keluar. Sebenarnya saya dan isteri dan pernah menyertai kursus 3 hari yang Mara anjurkan tu, kursus asas perniagaan lah, pengurusan kewangan lah (lepak-lepak kat hotel.. syok tu..) dari situ kami faham bukan senang nak minta duit 'buta-buta' saja. Jadi strategi saya ialah kita mulakan perniagaan dulu biarpun secara kecil-kecilan. Kita 'impress' mereka supaya mereka percaya bahawa kita ialah orang yang paling sesuai dibantu.

Kalau diorang tak bagi pinjam duit macammana kita nak mula bisnes? Soalan tajam macamni pun ada biasa juga keluar. Saya juga pernah merungut begitu pada awalnya, tapi soalan tu saya jawab sendiri. 'Start small' 'bermula dengan apa yang ada' 'biar kecil asalkan berhasil' itulah jawapan-jawapan nya.

-bersambung-